
Foto: Reuters
Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh manakala 67 lagi cedera pada Isnin dalam insiden letupan berkembar di pusat bandar ibu kota Iraq, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber Kementerian Dalam Negeri.
"Kemas kini terbaharu ialah jumlah kematian meningkat kepada 16 orang manakala 67 lagi cedera dalam insiden letupan berkembar di pusat bandar Baghdad," kata sumber itu kepada Xinhua dengan syarat identitinya dirahsiakan.
Serangan itu berlaku pada waktu pagi selepas seorang pengebom bunuh diri bertindak meletupkan ves bahan letupan yang dipakainya di sebuah kawasan sesak berhampiran Dataran al-Tayaran di mana ramai pekerja binaan biasanya berkumpul untuk menunggu majikan berpotensi, kata sumber tersebut.
Satu lagi insiden membabitkan sebutir bom di tepi jalan, yang meletup di tempat kejadian.
Terdahulu, sumber itu, yang memetik laporan polis, memaklumkan bahawa enam orang maut manakala 24 lagi cedera dalam insiden tersebut.
Setakat ini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melancarkan kedua-dua serangan itu. - Bernama